Rabu, 10 Mac 2010

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

Jika dia seorang yang bekerja, maka dia akan terus bekerja sehingga tiga tahun lagi atau enam tahun lagi. Ada yang masih bekerja sehingga 66 tahun. Tun Dr. Mahathir Mohamad terus bekerja - walaupun usianya sudah mencecah 85.
Pendek kata, selagi otak kita berkata kita harus perlu bekerja, maka badan kita akan bekerja. Jika badan gagal berkomunikasi dengan otak, maka itulah hari akhir bagi kita.
Begitu juga Malaysia. Ia adalah sebuah negara yang perlu terus hidup. Ia harus terus maju, makmur dan aman damai. Semangatnya harus dipelihara dan jiwanya harus dijaga oleh manusia yang menaunginya. Jika semangat dan jiwa itu tidak selari dengan manusia yang mendiaminya, maka Malaysia akan mati.
Jika Malaysia mati, kita bukan lagi akan menjadi rakyat yang boleh berbangga menjadi rakyatnya. Kita akan menjadi bangsa yang dihina dan merempat. Jika orang asing kini datang bekerja di rumah-rumah kita sebagai 'orang gaji' - mungkin generasi kita pula akan berbuat demikian kelak.
Apakah itu akan terjadi?
Di mana Malaysia 52 tahun akan datang? Di mana Malaysia 15 tahun akan datang? Di mana Malaysia satu generasi dari sekarang?
Tanya diri kita sebagai rakyat Malaysia - bagaimana agaknya rupa negara kita, bangsa kita, kita sendiri, pemimpin kita pada masa itu?
Namun sebelum kita melihat jauh. Kita lihat dulu senario perkembangan Malaysia secara umum dan kritis.
Malaysia pada 1957. Adalah satu bangsa yang cukup padu untuk mendapatkan kemerdekaan. Kita bersetuju dengan perancangan yang diatur. Kita menerima padu konsep Malaysia mengikut perlembagaan yang telah dirangka. Kita cukup bersatu untuk membina negara bangsa.
Malaysia pada 1969. 13 Mei, tiba-tiba Malaysia menjadi panas. Api kemarahan dan kebencian kaum meluap-luap sehingga membara. Permusuhan kaum, Melayu-Cina memuncak secara tiba-tiba. Malaysia di ambang krisis perkauman yang paling hitam dalam sejarahnya. Bacalah sejarahnya supaya anak-anak kita tahu apa yang berlaku dan pernah berlaku ketika itu. Rakyat kita pernah berbunuh-bunuhan sesama kita ketika itu. Apakah kita mahu sejarah itu berulang?
Malaysia pada 1970-an. Kita bertaut kembali. Kita bersetuju dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa dan pelbagai slogan lagi. Kita mahu hidup dalam aman damai melalui toleransi atau bertolak ansur. Mana-mana kumpulan yang lemah dibantu oleh kumpulan yang mewah melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Itulah rakyat Malaysia pada masa itu. Dasarnya tidak retorik, tapi praktikal.
Malaysia pada awal 1980-an. Kita berjaya melalui sistem pemerintahan yang dinamik. Rakyat diminta mengikut arah tuju yang ditetapkan. Pemikiran rakyat telah dibentuk dalam era ini. Anak-anak bangsa yang cerdik dihantar ke seantero dunia untuk menimba ilmu dan dibawa pulang ke tanah air untuk berkhidmat. Kita sama-sama bangunkan negara ini.
Malaysia pada akhir 1980-an. Jurang kemakmuran fizikal mengatasi rohaniah. Pembangunan kelas pertama, mentaliti masih kelas ketiga. Orang kita kagum melihat bangunan-bangunan pencakar langit kita. Ramai juga yang menjadi kontraktor dan kaya-raya sekelip mata. Ali baba pun menjadi-jadi. Bangsa yang lemah, ketinggalan. Politik wang menjadi amalan. Pemimpin yang celik sudah nampak ia akan menjadi barah.
Malaysia pada akhir 1990-an. Pergeseran antara pemimpin politik. Pemikiran rakyat yang dibentuk oleh dasar era awal 1980-an memakan tuan. Rakyat sudah berani bersuara. Revolusi Internet dan media baru telah memberi tekanan kepada pemerintahan dan sistem politik dan kerajaan. Golongan anarkis dan fahaman anarkisme mengambil tempat. Mereka sudah berani merusuh di atas jalan raya. Politik serantau tidak menentu. Campur tangan dan elemen luaran juga menyusup masuk untuk mengapi-apikan suasana.
Malaysia pada era 2000. Usaha mengekang tidak nampak. Kita mengamalkan sikap terbuka. Ada berkata dasar itu membawa rebah. Orang sudah mula bercakap mengenai hak perkauman masing-masing secara terbuka dan tertutup menerusi media baru. Rakyat yang sudah bijak pandai mengapi-apikan golongan bawahan. Parti-parti politik alternatif menjadi pilihan. Parti-parti konservatif semakin kurang menyerlah, walaupun masih bertahan.
Malaysia pada pertengahan 2000. Keadaan tidak berubah. Ideologi anarkisme ini menganggap bahawa adalah ideal hidup bebas tanpa dikongkong undang-undang. Mereka menentang segala bentuk organisasi yang tidak sehaluan dengan fahaman dan kehendak mereka. Mereka berani bergerak di atas jalan dan di atas maya Internet.
(Mengikut Diskusi Sejarah, Yusoff Iskandar, Khalil Yusoff, 1983: Golongan anarkis ini mula muncul di China pada tahun 1913 dan merebak ke Tanah Melayu pada 1918 dan amat berpengaruh di bandar-bandar seperti Singapura, Ipoh, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Seremban).
Malaysia pada 2009. Kita adalah satu masyarakat yang (masih) keliru. Masyarakat kita keliru untuk menentukan jati dirinya. Keliru untuk menentukan siapakah kita ini sebenarnya. Orang Melayu bercakap atas nama bangsanya, orang Cina atas nama kaumnya dan begitulah seterusnya. Orang Asli yang berada di status teratas bangsa Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan pula tidak bercakap apa-apa?
Kesimpulannya, kita harus bersatu suara semula melalui meja perundingan. Kita bukan lagi hidup di zaman feudal, yang mana semuanya ditentukan dan difikirkan oleh 'orang atas'. Orang atas harus mendengar juga suara orang bawah. Perbanyakkan sesi perbahasan baik di peringkat dalaman mahupun luaran. Rakyat Malaysia harus diasuh kembali untuk menjadi orang Malaysia.
Budaya dialog harus diperkenal dan dicambah dalam masyarakat kita. Budaya syok sendiri harus dinyahkan dalam diri individu dan kumpulan masing-masing. Biarlah bunyi tutur kata menyakitkan hati atau pedas, tapi hasilnya ada. Wujudkan kumpulan pendesak di peringkat dalaman supaya boleh menegur apa-apa yang tidak betul dan diperbetulkan.
Namun, apa sekalipun, tindakan harus dilaksana. Marilah kita bersama-sama mengamalkan pepatah: Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Malaysia ialah negara jati kita.

Kisah bukit Janda Baik, masyuk dan UMNO di PWTC

KEMENANGAN BN di Bagan Pinang kelmarin benar-benar menyelamatkan suasana di PWTC ini. Masing-masing masih lagi bercerita mengenainya. Bagi UMNO, kemenangan itu semacam meniup semangat baru kepada mereka setelah tujuh kali UMNO dan BN kecundang berturut-turut dalam pilihan raya kecil.
Semangat itu jelas terpancar di wajah para perwakilan. Malah wajah Presiden mereka, Najib pun berseri-seri. Muhyiddin yang menjadi ketua hulubalang di Bagan Pinang turut nampak ceria, walaupun wajahnya amat susah hendak dibaca.
Malah Isa Samad, calon yang menang juga nampak gembira - walaupun kelihatan sedikit dia merendah diri apabila ditegur.
Pendek kata, semua orang bersyukur dengan kemenangan itu. Ia disifatkan sebagai penyelamat kepada maruah dan nyawa UMNO dan BN. Kemenangan itu diperoleh penuh bergaya dengan margin kemenangan bukannya 100 peratus, tetapi 132 peratus berbanding keputusan pilihan raya lalu.
Kita tidak pasti bagaimana BN melalui jentera kuat UMNO boleh menang sebegitu besar.
Ada yang berkata, ia adalah hasil satu ‘strategi’ para pemimpin UMNO di sebuah bukit di Janda Baik beberapa hari sebelum pilihan raya Bagan Pinang itu.
Kisah Janda Baik itu cukup menarik sekali. Dalam pertemuan itu, saf-saf yang renggang berjaya diluruskan kembali. Saf Perlis, saf Terengganu, saf Wilayah, pendek kata semua saf sudah boleh berdiri sebaris. Yang bermasam muka kembali berpeluk-pelukan. Yang tak boleh duduk semeja, sekarang sudah boleh bergurau-senda.
Malah ia berakhir dengan satu semangat baru yang bukan sahaja mengembalikan kesedaran, tetapi keinsafan bahawa ekoran sifat buruk mereka selama inilah, parti yang menaungi orang Melayu itu hampir jahanam.
Melalui gandingan mantap yang disatukan semula itulah, mungkin menjadi faktor kemenangan Bagan Pinang itu.
Namun, apa sekali pun, kemenangan tersebut sepatutnya menjadi satu titik permulaan kebangkitan semula UMNO. Kebangkitan itu bukan bermakna ia harus mendabik dada, berseronok, lupa diri, tunjuk lagak dan lupa daratan, tetapi sudah sampai masanya (ulang: sudah sampai masanya) ia harus berubah.
Walaupun istilah berubah bagi UMNO bukan kata-kata yang baru didengari, malah ia pernah diucap dengan iringan air mata, UMNO sudah tiada masa lagi. Ia juga sudah tiada pilihan selain daripada berubah. Jika tidak ia akan diubah.
UMNO tidak boleh sama sekali membiarkan musuh-musuhnya menggunakan kelemahan itu untuk menjahanamkannya.
Pas, DAP, Keadilan sekarang terlalu selesa dengan kelemahan UMNO itu. Mereka pun bukannya baik sangat, tetapi menang atas dasar orang marah dengan UMNO.
UMNO sebagai sebuah pertubuhan keramat Melayu harus dipelihara dan dipulihara kembali oleh ahli-ahlinya sendiri. Jahanamnya sesebuah parti politik di dunia ini bukannya berlaku secara semula jadi atau kerana ia sudah tua atau mulai tua, tapi disebabkan oleh ahli-ahli dan para pemimpinnya yang sudah lupa daratan.
Apa cara dan kaedah sekalipun yang bakal dibawa oleh Najib, UMNO harus berubah.
Perubahan UMNO seperti kata Najib kepada para wartawan selepas menyampaikan amanat tertutupnya semalam ialah: Ia harus berubah kepada lima perkara iaitu merapatkan kembali saf, ikhlas, tawaduk (merendah diri), menjaga perpaduan dan merancang strategi.
Dua tiga tahun sebelum tempoh pilihan raya umum akan datang sudah terlalu hampir. Jika perubahan drastik itu tidak dilakukan secara drastik juga, maka orang UMNO perlu sedar bala yang bakal menanti mereka.
Sekadar imbasan rekod yang perlu direnungi dan diinsafi, pada pilihan raya umum 2008, BN hanya menang dengan majoriti mudah, kurang 50 peratus. Satu keputusan yang memberi banyak masalah kepada kerajaan BN sekarang untuk meluluskan sebarang usul perundangan di Parlimen. Jika bukan kerana undi Sabah dan Sarawak - pembangkanglah yang memerintah Malaysia hari ini.
Berdasarkan kepada maklum balas perwakilan yang mengikuti amanat Presiden UMNO semalam, jelas memperlihatkan Najib mahukan UMNO diubah. Perubahan itu tidak boleh lagi dilakukan secara seruan, rayuan, tangisan, desakan, tetapi melalui perubahan kepada sistemnya.
Perhimpunan ke-60 kali ini akan menyaksikan cadangan pindaan perlembagaan UMNO akan diluluskan. Signifikannya, ia diadakan bagi mengelakkan UMNO terus terjerumus dalam politik wang dan politik ketamakan.
Pindaan itu akan membolehkan kira-kira 146,000 perwakilan UMNO membuat pemilihan bagi menentukan barisan kepimpinan parti itu. Ia bukan lagi hanya ditentukan oleh sekitar 2,500 orang sahaja (yang mungkin boleh dibeli dengan wang), tetapi oleh bilangan yang berlipat kali ganda.
Jika ini berlaku, maka tidak keterlaluan dikatakan bahawa UMNO akan menjadi parti yang paling demokratik di kalangan parti yang ada di Malaysia - termasuk parti pembangkang.
Walaupun ada kata-kata sinis yang mengatakan 146,000 itu juga akan boleh dibeli, namun ia sukar dilakukan. Kita berharap angka itu dapat ditingkatkan lagi sehinggalah kuasa memilih dibuka kepada semua ahlinya.
Para pemerhati melihat perubahan ini dengan penuh harapan. Ia akan berupaya menonjolkan imej bersih kepada parti itu. Ingatlah sekali lagi bahawa kemusnahan sesebuah parti ialah kerana orang jelak dengan tingkah laku ahli-ahlinya sendiri.
Nampaknya Najib mahu melakukan transformasi ini secara bersungguh-sungguh - satu perubahan yang tidak pernah berlaku sejak penubuhannya.
‘‘Kita mahu UMNO menjadi parti yang berubah dan merendah diri,’’ kata seorang perwakilan sambil memetik kata-kata Najib yang berucap pada majlis amanat Presiden itu.
Namun, di sebalik keseriusan topik amanat itu, para perwakilan yang keluar dari Dewan Merdeka itu tiba-tiba masing-masing mengusik rakan mereka dengan sebutan ‘masyuk... masyuk...’
Istilah itu kemudian berlegar-legar ke seluruh PWTC. Ia adalah istilah popular yang digunakan oleh para perwakilan yang meminta wang daripada calon semasa pemilihan parti yang lalu. ‘‘Tak masyuk, tak ada undi...”
Namun, Najib nampaknya serius kali ini. Beliau mahu memastikan istilah ‘masyuk...’ itu dilenyapkan daripada perbendaharaan kata UMNO.

Apa ada pada nama...

APA Nama. Itu adalah nama bagi sebuah kapal layar milik Tun Dr. Mahathir yang sedang ditambat di marina di Langkawi.
Sedap nama itu. Ia dinamakan sebegitu kerana orang Utara seperti Tun sering menyebut "apa nama" jika beliau tercari-cari sesuatu perkataan ketika bercakap sambil berfikir atau semasa ayat tuturnya terputus.
Mengapa nama? Nama itu penting, walaupun tak ada nama. Seperti nama kapal itu, secara literal atau lurus, ia tiada nama. Tapi hakikatnya, itulah namanya - Apa Nama.
Namun, banyak pihak berkata apa ada pada nama. Ia bermaksud nama itu tidak penting. Siapa orang itu tidak penting. Itu pasallah satu ungkapan popular dalam pilihan raya "letak selipar Jepun pun boleh menang". Selipar Jepun disifatkan sebagai tiada bernilai, tidak penting dan orang yang bertanding itu tiada nama hebat, tapi boleh menang.
Jika dulu selipar Jepun memihak kepada calon BN. Letaklah di mana sekali pun, calon selipar Jepun itu akan menang. Itu cerita dulu. Sekarang susah nak cakap. Selipar Jepun bukan lagi memihak kepada BN. Sebaliknya ada orang berkata selipar Jepun itu kini beralih kepada pihak sebelah lagi. Mereka kini mempunyai advantage selipar Jepun. Letaklah si buta dari gua hantu sekalipun dia boleh menang.
Itu pasallah tukang gambar pun boleh menang sebagai wakil rakyat di Kelana Jaya. Dia itu hendak cakap bahasa Melayu pun tersasul, tapi menang besar dalam pilihan raya umum lalu. Selain dia, orang yang meringkuk dalam tahanan di Kamunting pun boleh menang besar. Tidak perlu pun bersusah payah berkempen, calon itu kini wakil rakyat di Kota Alam Shah dekat Klang, Selangor.
Faktor pemilihan calon dalam pilihan raya bagi BN sejak kebelakangan ini (terutama selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu) amat penting. Ia harus dibuat dengan teliti dan betul-betul. Dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir tempoh hari pun, nama calon BN kemudiannya telah jadi hal. Macam-macam hal yang dihadapi BN ekoran soal nama ini.
Itu pasal Muhyiddin Yassin semalam tidak mengumumkannya secara langsung nama calon tapi meminta penyokong atau rakyat di bawah rostrumnya menamakannya. "Siapa nama calon Bagan Pinang," jeritnya dan disambut oleh hadirin, Mohd. Isa!!.., siapa? Mohd. Isa!!.., siapa? Mohd. Isa!!! Tiga kali orang bawah pentas itu menjerit nama Mohd. Isa.
Maka, rasmilah Tan Sri Mohd. Isa Samad dilantik sebagai calon. Tidak pastilah mengapa Muhyiddin enggan menyebutnya, tapi ia mungkin gimik yang mahu dilakukannya.

GELOJOH II

ORANG politik cakap tak serupa bikin. Semuanya kerana harta, berebut pangkat, penting diri sendiri dan ketamakan. Itulah yang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang.
Baik dalam Pas di Kelantan atas sifat nepotisme dan kronisme, begitu juga di Selangor dan di Pulau Pinang. Jangan cakaplah sama ada orang politik itu kononnya alim dan berserban atau tidak alim, semuanya sama saja.
Lim Guan Eng yang kononnya mahu mewujudkan kerajaan yang bersih pun sama. Setelah berada di puncak kuasa, beliau sudah lupa janji-janjinya dalam pilihan raya lalu. Itu pasallah Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim mengamuk dengan menuduh Guan Eng sebagai “diktator, cauvinis dan berotak-komunis”. Tuduhan itu cukup serius. Setakat ini tiada desas-desus Guan Eng akan saman Zahrain.
Sebaliknya Guan Eng pula mendakwa, Zahrain ‘‘kecewa” (istilah dalam The Star “politically frustrated”) kerana cadangannya memasukkan sebuah syarikat bermodal RM2 untuk satu projek ditolak oleh kerajaan negeri.
Zahrain dalam wawancaranya kepada The New Straits Times (NST) pula menjawab: “Itu satu pembohongan besar. Malah mereka cuba nak kaitkan syarikat itu dengan anak saya pula. Saya akan saman mereka.”
Betul tak betul, hakikatnya itu semua adalah kerana harta dan ketamakan. Jika dulu mereka menuduh orang UMNO bersifat begitu, kini mereka lagi lebih. Orang putih kata “the pot calling the kettle black”, orang Melayu kata “cakap tak serupa bikin’'. Baru dua tahun rakyat memberi undi dan memberi peluang perintah kepada mereka - suasananya sudah haru-biru.
Jika dulu mereka tuduh orang UMNO atau BN korup, tapi sebusuk-busuk UMNO dan BN, Malaysia telah disentosakan dan rakyat telah dimakmurkan. Tapi, bagi pakatan pembangkang ini apa yang kita nampak? Habuk pun tarak. Apa yang ada di hadapan kita sekarang sama ada di Selangor, Pulau Pinang, Kedah – malah Kelantan sekali ialah peninggalan kerajaan Barisan dulu yang ditolak rakyat.
Rakyat telah menikmati pelbagai faedah daripada kerajaan yang mereka tolak itu. Sekurang-kurangnya orang Melayu boleh bekerja di kilang-kilang yang tumbuh bagai cendawan dulu. Tak pasti berapa banyak kilang sudah wujud dan berapa banyak pekerjaan sudah dibuka semasa pemerintahan Guan Eng ini. Di Pulau Pinang, jika kita pergi sekarang ke kompleks-kompleks membeli-belahnya tiada budaya Malaysia langsung! Itu adalah realiti. Sepatutnya ia menggambarkan budaya 1Malaysia, sekurang-kurangnyalah.
Saya tidak pasti benar atau tidak gerai-gerai orang Melayu di tepi-tepi jalan di Pulau Pinang dirobohkan? Jika benar amat sedih sekalilah. Mereka mahu mencari makan dan kebanyakan mereka adalah orang yang memberi undi kepada kerajaan Guan Eng sekarang.
Nampak gaya semuanya sudah jadi cacamarba. Anwar Ibrahim pun dengan masalah dirinya yang tidak selesai-selesai. Pelbagai usaha dilakukan oleh peguamnya untuk menyelamatkan klien mereka itu. Pelbagai cara teknikal dilakukan untuk terus menangguhkan kes Anwar yang dituduh meliwat Mohd. Saiful Bukhari.
Namun semalam Saiful gembira. Setelah lebih setahun menunggu akhirnya dia akan dapat peluang untuk memberi keterangan dalam kes liwat itu yang bermula hari ini. SMS Alert Utusan dari mahkamah tertulis: “Dia tenang tanpa tekanan.”
Tapi politik Malaysia ini penuh dengan warna-warninya. Semalam juga, buat pertama kalinya, Nik Aziz Nik Mat yang terlalu kasihan dengan Anwar sanggup “turun padang” ke mahkamah untuk melawat rakannya itu.
Sebagai seorang totok politik, Nik Aziz tahu untuk mengalihkan masalah dirinya kepada masalah lain. Isu anak menantunya masih panas, dia melalui penasihat-penasihatnya yang bijak sejak seminggu ini mengalihkan perhatian awam kepada isu royalti minyak. Ku Li juga turut serta dalam satu perhimpunan isu minyak itu, maka sekelip mata isu anak menantunya yang dikatakan orang sebagai “budaya nepotisme dan kronisme Nik Aziz” tertutup.
Semalam, Nik Aziz ke mahkamah untuk mendapatkan publisiti penuh bagi dirinya dan sekali gus menutup isu dirinya dan anak menantunya lagi. Sungguh bijak para penasihatnya yang diketuai oleh Husam Musa melakukan diversion. Dengan sendirinya isu pokok Nik Aziz dan anak menantunya tertutup. Dalam konteks Malaysia taktik lencongan itu cukup efektif kerana tahap pemikiran orang kita cukup singkat dan mudah lupa.
Selangor pun tak kurang panasnya. Selain isu kerakusan kaut pasir yang membabitkan orang politik negeri itu, isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang diterajui oleh orang UMNO ternyata panas. Tanah YBK seluas 526 hektar di Serendah, Rawang – pemberian kerajaan UMNO dulu, dirampas kerajaan sekarang kerana yayasan itu gagal jelaskan cukai berjumlah RM5.7 juta.
Walaupun isu itu lebih membabitkan soal kompromi dan tolak-ansur, kerajaan sekarang tidak akan berbuat demikian. Dengan Menteri Besar Khalid Ibrahim yang dikatakan ‘lemah’ di bawah pengaruh DAP maka agak sukar usaha kompromi itu dijalankan. Tanah itu dikatakan tapak untuk didirikan kampus UiTM.
Perak pula pun akan panas tidak lama lagi. Keputusan status kerajaan BN pimpinan Dr. Zambry Abd. Kadir akan diketahui di Mahkamah Persekutuan 9 Februari ini.
Dengar kata, kedua-dua BN dan DAP-Pas sudah bersiap sedia. Siapa menang ia akan memerintah negeri itu. Tapi persoalannya, apakah akan berlaku pilihan raya negeri jika sesuatu yang di luar jangkaan berlaku di pihak BN. Akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri sebelum 9 Februari ini? Macam-macam khabar angin di luar sana.
Namun, mengikut tinjauan – orang Perak tidak mahu melakukan kesilapan kali kedua untuk memberi Perak kepada DAP yang melantik Pas sebagai boneka mereka.
Akhir sekali, saya tertarik dengan petikan Zahrain dalam wawancaranya dengan NST semalam, beliau berkata: “Saya terus-menerus mengingatkan mereka (kerajaan Guan Eng) bahawa keputusan pilihan raya umum Mac 2008 adalah undi protes oleh para pengundi, yang melihat kami sebagai alternatif mereka...”
Benar kata Zahrain, keputusan undi PRU-12 itu tidak real, ia banyak dipengaruhi oleh emosi, perasaan dan persepsi yang negatif terhadap pemerintah.
Apa yang dikatakan Zahrain itu juga seharusnya dijadikan iktibar oleh orang politik kerajaan yang memerintah Malaysia sekarang. PRU-13 adalah penentunya yang sebenar. Oleh itu kita semua janganlah gelojoh.

GELOJOH....RM2 JUTA!

KITA tidak pasti apa sebenarnya matlamat segelintir orang masuk politik. Apa sebenarnya cita-cita mereka. Niat mereka? Orang politik yang masuk dulu dan sekarang apa bezanya?
Mereka yang sudah masuk lama dulu dan sudah nampak track record mereka, bolehlah kita katakan mereka itu benar-benar politikus atau ahli politik ataupun ahli politik totok atau juga dikenali sebagai political animal.
Orang seperti Dr. Mahathir Mohamad dan Nik Aziz boleh dipanggil political animal, begitu juga dengan Ibrahim Ali mahupun Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Bukan senang nak dikategorikan orang politik dengan istilah itu. Sekurang-kurang mereka telah mempunyai rekod perkhidmatan, pernah melalui sepak-terajang (disepak atau menyepak) politik. Mereka ini lazimnya menang dalam pertarungan cantas-mencantas dan pelbagai strategi politik yang hebat-hebat.
Kit Siang dan Karpal Singh akhirnya berjaya mewujudkan empayar anak-beranak dalam DAP. Begitu juga dengan Nik Aziz, tapi cubaannya gagal. Dalam UMNO dan BN sendiri pun ada.
Dr. Mahathir setakat ini tiada tandingannya di Malaysia mahupun di dunia. Beliau ialah seorang political animal yang tidak takut kepada sesiapa pun, waima kuasa besar dunia dan orang Yahudi. Beliau tidak perlu takut kerana rekod perkhidmatannya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri untuk negara ini tiada tandingannya dan tidak boleh dipertikai oleh sesiapa pun.
Namun kini, mula kedengaran daripada veteran-veteran politik mengenai persoalan apa sebenarnya tujuan dan niat orang politik yang muda-mudi ini masuk politik. Tokoh politik sekarang semasa mula-mula masuk politik dulu sekitar tahun 40an, 50an, 60an, 70an cuma makan nasi bungkus, matlamat mereka jitu. Sanggup bergadai bergolok demi perjuangan agama, bangsa dan negara.
Tapi orang politik sekarang belum apa-apa sudah makan di hotel-hotel mewah, tiada habuan tiada jalan, dalam akal penuh muslihat untuk kepentingan diri.
Selepas berkecimpung beberapa tahun, sudah mula pakai kereta mewah. Kereta yang dipakai sudah jadi trend; mula-mula dulu orang politik yang muda-mudi ini pulun pakai SUV jenis Rexton, kemudian tukar kepada Volvo XC90, kemudian naik setingkat lagi BMW X5 hinggalah kepada Porsche Cayenne yang berharga lebih setengah juta ringgit. Mereka bertukar-tukar kereta seperti barang mainan.
Belum pun satu penggal menjadi ahli politik muda, sudah mula pasang seorang lagi bini. Jika bukan sesama mereka (dalam sayap parti) yang dipilih sebagai pasangan kedua itu, mereka akan pilih artis jelitawan. Wow mereka ini cukup hebat.
Ia bukan dibuat secara sembunyi-sembunyi lagi. Jika bersembunyipun, akhirnya perbuatan itu dapat dihidu dan terbongkar. Bukan niat kita nak memburuk-burukkan mereka ini, tapi gelagat itu boleh merosakkan susu sebelanga. Itulah, kata seorang ahli politik veteran kepada saya, bezanya orang politik dulu dan sekarang.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam politik arus perdana yang memerintah negara, tapi juga sudah mulai berlaku dalam politik pembangkang yang memegang kuasa di negeri-negeri tertentu.
Semasa tokoh politik veteran itu bercerita mengenai hal itu, tiba-tiba tersembur cerita dalam akhbar bagaimana setiausaha politik seorang menteri yang masih muda memiliki RM2 juta (tunai) dalam rumahnya.
Semasa SPRM (yang semakin ditakuti) menyerbu ke rumahnya ditemui berkepul-kepul wang tunai RM5, RM10, RM50 dan RM100. Kereta-kereta mewah yang dimiliki tak perlu ceritalah.
Beberapa hari selepas itu dilaporkan seorang setiausaha politik meletakkan jawatan.
Maka itu, saya pun menerimalah SMS daripada pelbagai pihak termasuk daripada seorang ketua bahagian yang ternama yang menulis ''sepatutnya ada beberapa supol (Setiausaha Politik) lagi yang perlu letak jawatan kerana gagal tunaikan tanggungjawab… serta hidup lebih dari kemampuan yang sebenar!''
Dia tambah lagi SMS kedua yang bunyinya lagi teruk. Tidak perlulah saya tulis di sini, cuma ketua bahagian itu minta ''SPRM pi check''.
Tidak pasti mengapa ketua bahagian itu marah sangat. Mungkin kerana dia bukan daripada golongan yang gelojoh itu. Dia mungkin daripada golongan generasi lama yang matlamat perjuangannya bukan kerana wang. Bagi mereka asal senang sudah, bukan terlalu mewah yang bukan-bukan.
Ekoran peristiwa itu ada panggilan masuk yang mendedahkan itu dan ini termasuk kisah mengenai seorang politik muda yang mahu membeli rumah berharga RM1 juta - bukan buat pinjaman bank untuk bayaran balik selama 25 tahun seperti yang orang biasa lakukan, tapi nak bayar cash-tunai!
Oleh itu nasihat kita, berpada-padalah wahai orang politik yang muda-mudi ini. Kalau kita terlalu gelojoh orang akan nampak. Bukan semua orang yang akan tolong sorok perbuatan anda, banyak yang mahu mendedahkannya, malah mahu membunuh kerjaya anda.
Kemuncaknya, ingatlah yang akan membunuh anda dan seluruh institusi politik anda ialah kuasa rakyat yang meluat melihat kegelojohan anda itu.
Jika sesiapa yang terasa pedas, ikutlah nasihat ketua bahagian itu, letaklah jawatan beramai-ramai.