Rabu, 10 Mac 2010

Kisah bukit Janda Baik, masyuk dan UMNO di PWTC

KEMENANGAN BN di Bagan Pinang kelmarin benar-benar menyelamatkan suasana di PWTC ini. Masing-masing masih lagi bercerita mengenainya. Bagi UMNO, kemenangan itu semacam meniup semangat baru kepada mereka setelah tujuh kali UMNO dan BN kecundang berturut-turut dalam pilihan raya kecil.
Semangat itu jelas terpancar di wajah para perwakilan. Malah wajah Presiden mereka, Najib pun berseri-seri. Muhyiddin yang menjadi ketua hulubalang di Bagan Pinang turut nampak ceria, walaupun wajahnya amat susah hendak dibaca.
Malah Isa Samad, calon yang menang juga nampak gembira - walaupun kelihatan sedikit dia merendah diri apabila ditegur.
Pendek kata, semua orang bersyukur dengan kemenangan itu. Ia disifatkan sebagai penyelamat kepada maruah dan nyawa UMNO dan BN. Kemenangan itu diperoleh penuh bergaya dengan margin kemenangan bukannya 100 peratus, tetapi 132 peratus berbanding keputusan pilihan raya lalu.
Kita tidak pasti bagaimana BN melalui jentera kuat UMNO boleh menang sebegitu besar.
Ada yang berkata, ia adalah hasil satu ‘strategi’ para pemimpin UMNO di sebuah bukit di Janda Baik beberapa hari sebelum pilihan raya Bagan Pinang itu.
Kisah Janda Baik itu cukup menarik sekali. Dalam pertemuan itu, saf-saf yang renggang berjaya diluruskan kembali. Saf Perlis, saf Terengganu, saf Wilayah, pendek kata semua saf sudah boleh berdiri sebaris. Yang bermasam muka kembali berpeluk-pelukan. Yang tak boleh duduk semeja, sekarang sudah boleh bergurau-senda.
Malah ia berakhir dengan satu semangat baru yang bukan sahaja mengembalikan kesedaran, tetapi keinsafan bahawa ekoran sifat buruk mereka selama inilah, parti yang menaungi orang Melayu itu hampir jahanam.
Melalui gandingan mantap yang disatukan semula itulah, mungkin menjadi faktor kemenangan Bagan Pinang itu.
Namun, apa sekali pun, kemenangan tersebut sepatutnya menjadi satu titik permulaan kebangkitan semula UMNO. Kebangkitan itu bukan bermakna ia harus mendabik dada, berseronok, lupa diri, tunjuk lagak dan lupa daratan, tetapi sudah sampai masanya (ulang: sudah sampai masanya) ia harus berubah.
Walaupun istilah berubah bagi UMNO bukan kata-kata yang baru didengari, malah ia pernah diucap dengan iringan air mata, UMNO sudah tiada masa lagi. Ia juga sudah tiada pilihan selain daripada berubah. Jika tidak ia akan diubah.
UMNO tidak boleh sama sekali membiarkan musuh-musuhnya menggunakan kelemahan itu untuk menjahanamkannya.
Pas, DAP, Keadilan sekarang terlalu selesa dengan kelemahan UMNO itu. Mereka pun bukannya baik sangat, tetapi menang atas dasar orang marah dengan UMNO.
UMNO sebagai sebuah pertubuhan keramat Melayu harus dipelihara dan dipulihara kembali oleh ahli-ahlinya sendiri. Jahanamnya sesebuah parti politik di dunia ini bukannya berlaku secara semula jadi atau kerana ia sudah tua atau mulai tua, tapi disebabkan oleh ahli-ahli dan para pemimpinnya yang sudah lupa daratan.
Apa cara dan kaedah sekalipun yang bakal dibawa oleh Najib, UMNO harus berubah.
Perubahan UMNO seperti kata Najib kepada para wartawan selepas menyampaikan amanat tertutupnya semalam ialah: Ia harus berubah kepada lima perkara iaitu merapatkan kembali saf, ikhlas, tawaduk (merendah diri), menjaga perpaduan dan merancang strategi.
Dua tiga tahun sebelum tempoh pilihan raya umum akan datang sudah terlalu hampir. Jika perubahan drastik itu tidak dilakukan secara drastik juga, maka orang UMNO perlu sedar bala yang bakal menanti mereka.
Sekadar imbasan rekod yang perlu direnungi dan diinsafi, pada pilihan raya umum 2008, BN hanya menang dengan majoriti mudah, kurang 50 peratus. Satu keputusan yang memberi banyak masalah kepada kerajaan BN sekarang untuk meluluskan sebarang usul perundangan di Parlimen. Jika bukan kerana undi Sabah dan Sarawak - pembangkanglah yang memerintah Malaysia hari ini.
Berdasarkan kepada maklum balas perwakilan yang mengikuti amanat Presiden UMNO semalam, jelas memperlihatkan Najib mahukan UMNO diubah. Perubahan itu tidak boleh lagi dilakukan secara seruan, rayuan, tangisan, desakan, tetapi melalui perubahan kepada sistemnya.
Perhimpunan ke-60 kali ini akan menyaksikan cadangan pindaan perlembagaan UMNO akan diluluskan. Signifikannya, ia diadakan bagi mengelakkan UMNO terus terjerumus dalam politik wang dan politik ketamakan.
Pindaan itu akan membolehkan kira-kira 146,000 perwakilan UMNO membuat pemilihan bagi menentukan barisan kepimpinan parti itu. Ia bukan lagi hanya ditentukan oleh sekitar 2,500 orang sahaja (yang mungkin boleh dibeli dengan wang), tetapi oleh bilangan yang berlipat kali ganda.
Jika ini berlaku, maka tidak keterlaluan dikatakan bahawa UMNO akan menjadi parti yang paling demokratik di kalangan parti yang ada di Malaysia - termasuk parti pembangkang.
Walaupun ada kata-kata sinis yang mengatakan 146,000 itu juga akan boleh dibeli, namun ia sukar dilakukan. Kita berharap angka itu dapat ditingkatkan lagi sehinggalah kuasa memilih dibuka kepada semua ahlinya.
Para pemerhati melihat perubahan ini dengan penuh harapan. Ia akan berupaya menonjolkan imej bersih kepada parti itu. Ingatlah sekali lagi bahawa kemusnahan sesebuah parti ialah kerana orang jelak dengan tingkah laku ahli-ahlinya sendiri.
Nampaknya Najib mahu melakukan transformasi ini secara bersungguh-sungguh - satu perubahan yang tidak pernah berlaku sejak penubuhannya.
‘‘Kita mahu UMNO menjadi parti yang berubah dan merendah diri,’’ kata seorang perwakilan sambil memetik kata-kata Najib yang berucap pada majlis amanat Presiden itu.
Namun, di sebalik keseriusan topik amanat itu, para perwakilan yang keluar dari Dewan Merdeka itu tiba-tiba masing-masing mengusik rakan mereka dengan sebutan ‘masyuk... masyuk...’
Istilah itu kemudian berlegar-legar ke seluruh PWTC. Ia adalah istilah popular yang digunakan oleh para perwakilan yang meminta wang daripada calon semasa pemilihan parti yang lalu. ‘‘Tak masyuk, tak ada undi...”
Namun, Najib nampaknya serius kali ini. Beliau mahu memastikan istilah ‘masyuk...’ itu dilenyapkan daripada perbendaharaan kata UMNO.

0 ulasan: